GEORGE TOWN: Seorang lelaki direman tiga hari kerana disyaki terbabit dalam kes pukul seorang pekerja sebuah kremotarium di Batu Gantung, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 40an itu diperoleh hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Suspek dalam kejadian itu telah ditahan dan direman selama tiga hari sehingga 4 Mac ini.

"Mangsa pula masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, kejadian kira-kira 12 tengah hari itu berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan keluarga mendiang seorang wanita yang mayatnya diuruskan oleh krematorium itu.

Dalam kejadian itu mangsa berusia 45 tahun cedera di kepala dipercayai dipukul menggunakan kayu sehingga pengsan sebelum dibawa rakan sekerja ke HPP untuk mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA